[ANALISIS] PRU15: Misi bolot kuasa atau perjuang nasib rakyat

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tiga bulan lagi, sebaik tamat darurat pada 1 Ogos?  

Hah, inilah yang menjadi teka-teki dan persoalan yang bermain-main dalam fikiran melihatkan senario politik sekarang. 

Mampukah empat parti besar negara, UMNO, Pas, PKR, Bersatu, Warisan, mahupun DAP bertanding bersendirian ataupun sudah wujud gabungan yang bakal memberi kejutan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri mengakui kelemahan parti mereka setelah kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan sebahagian besar manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tempoh hari.

Beliau dalam kenyataan menerusi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Petaling Jaya pada Mei, seolah-olah mahu memancing semula pengundi yang kini masih berteka teki mahu memilih parti mana untuk membuang undi pada PRU15.

Ini sebab semua parti dilihat masih terumbang-ambing mencari hala tuju yang tepat untuk memberi wadah terbaik buat pengundi.

Pandemik Covid 19 yang semakin serius turut menyemarakkan kemarahan rakyat kepada pemimpin yang dianggap gagal menangani secara holistik.

Bairpun sudah dua kali bertukar kerajaan tidak sampai sepenggal, belum dapat memuaskan hati rakyat.

Anwar yang beberapa kali mengumumkan beliau sebagai calon perdana menteri seterusnya juga sedar usaha mengambil alih kerajaan daripada tangan Perikatan Nasional (PN) tanpa melalui PRU15 adalah mustahil.

Ujarnya, ia ibarat mimpi di siang sekiranya sidang Parlimen masih tidak dapat berfungsi susulan pengisytiharan darurat Januari lalu.

Ketua pembangkang ini juga mendedahkan bahawa PH sudah memulakan proses rundingan kerusi bagi menghadapi PRU15.

PH turut mengambil kira kerusi untuk parti sekutu lain termasuk cadangan yang dikemukakan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO).

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRU15.

Masakan tidak, rakaman audio yang dikatakan mirip suara Anwar dan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi tular di laman sosial hingga mencetuskan kontroversi.

Meskipun kedua-dua pemimpin menyangkal dakwaan terbabit namun rakaman suara panggilan telefon berdurasi empat minit 17 saat mirip Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 seolah-olah memberi gambaran kerjasama antara UMNO dan PKR bakal terjalin.

Sehingga hari ini, tidak ada mana-mana pihak antara keduanya yang menyaman penyebar video berkenaan untuk menafikan bahawa itu bukan individu yang dinyatakan.

DAP: Sasar tawan Kelantan, misi perintah Malaysia

Sementara itu, menerusi kenyataan wakil parti DAP Kebangsaan, Fong Kui Lan pada April lalu, parti itu telah bercadang meletakkan calon untuk bertanding di Kelantan pada PRU15 bagi menawan negeri Siti Wan Kembang itu.
  
Menggunakan strategi mendekati pelbagai bangsa, Kui Lan akan letakkan calon tempatan tidak kira Melayu, Cina atau India, yang memiliki integriti.

Parti DAP juga didakwa bakal membentuk satu jajaran baharu bersama parti lain secara senyap.

Khabar angin mengatakan DAP akan bergabung dengan parti lain semasa PRU15. 

Pemimpin pusat DAP, Senator Liew Chin Tong memetik idea ‘big tent’ atau khemah besar sebagai asas untuk DAP kembali memerintah negara ini.

Ching Tong juga berkata, PRU15 parti itu tidak lagi masuk bertanding sebagai parti pembangkang sebaliknya, DAP bertanding sebagai parti yang mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan.

Ia memberi maksud DAP akan bergabung dengan parti lain yang kini masih menjadi tanda tanya. Jangan disangka air yang tenang tiada buaya kerana mungkin DAP bakal memberi kejutan luar biasa.

UMNO: Bertanding solo

Namun lain pula kisahnya dengan parti UMNO yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila memutuskan untuk bergerak solo bagi menghadapi PRU15.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam Mesyuarat Tertinggi BN akan bertanding solo atas jenama BN dan lambang dacing.

Beliau juga meletakkan sasaran akan bertanding di semua kerusi demi menjadi tonggak kepimpinan negara ini.

Semasa berucap di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC), Ahmad Zahid menegaskan tidak akan mendukung gabungan politik dalam Perikatan Nasional (PN).

Keputusan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada UMNO itu sendiri begitu juga dengan rakan sekutunya iaitu parti Bersatu.

Namun sebaliknya, Ahmad Zahid yakin mampu mengembalikan kegemilangan UMNO pada pilihan raya nanti. Mungkin keputusan UMNO itu adalah tepat dan jika percaturan yang dilakukan berhasil ia memberi penanda aras baharu buat parti keramat itu.

Tunggu dan lihat sahaja apa yang berlaku semasa PRU15, kerana segala keputusan di tangan rakyat. Apa sahaja boleh berlaku, sama ada menang atau jatuh terduduk.

Bersatu: Pertahan kerusi

Biarpun parti Bersatu dilanda kemelut, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap memberi fokus kepada persediaan PRU15. 

Beliau memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi parti itu pada PRU14 selepas UMNO tidak mahu bertoleransi melepaskan kerusi yang mereka bertanding pada PRU15.

Tidak gentar dengan segala kemungkinan, Bersatu bersedia berlawan dengan parti mana sekalipun dan beliau juga bakal mempertahankan kerusi di Parlimen Pagoh.

Ini sebab menyedari bahawa melalui pelaksanaan proses demokrasi sahaja akan memastikan kerajaan baharu yang bakal dibentuk lebih kukuh dan stabil.

Dalam pada itu, beliau juga memberi gambaran akan mengadakan PRU15 selepas pandemik Covid-19 berjaya diredakan dengan bekalan vaksin mula diagih kepada rakyat.

Warisan: Kerjasama dengan Muda

Berbeza pula dengan parti Warisan apabila bersikap terbuka dan bersedia untuk bersepakat sekali lagi dengan blok pembangkang lain untuk membentuk kerajaan pada PRU15.

Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata rundingan akan diadakan dan muafakat akan dilakukan untuk kepentingan rakyat.

Beliau berkata, struktur Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah bersedia dan tidak berubah di mana di peringkat bahagian ada 25 bahagian begitu juga 25 parlimen.

Bagi melebarkan sayap Warisan di Semenanjung Malaysia, Warisan akan menjalin kerjasama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mohd Shafie juga menolak untuk berkerjasama dengan PN atau Bersatu kerana disifatkan parti berkenaan masih lagi lompong di sana sini.

Jika diperhatikan, kesemua parti besar ini telah membulat keputusan untuk bertanding dan bersedia bergerak sendirian atau bekerjasama dengan parti lain.

Pas: Tak mahu terburu-buru

Namun berbeza dengan parti Pas apabila mereka bersikap 'tunggu dan lihat' sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan UMNO di bawah Muafakat Nasional (MN) atau Bersatu seperti mana yang dilakukan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa, begitulah situasi Pas ketika ini. 

Dalam konteks kerjasama politik, Pas perlu membuat penegasan dalam menentukan hala tuju kerjasama politik dipilih mereka.

Bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan perkara itu apabila sedang mengadakan rundingan pembahagian kerusi bersama Bersatu bagi menghadapi PRU15.

Pas dikatakan tidak bersikap terburu-buru dalam soal pembahagian kerusi tersebut kerana tarikh PRU15 belum diputuskan bila diadakan.

Beliau juga memberitahu, soal jumlah dan lokasi kerusi yang akan Pas bertanding bergantung kepada keperluan dan kesesuaian semasa.

Apabila melihat persedian parti politik dalam menghadapi PRU15 ketika pandemik Covid-19 ini, terfikir juga bilakah PRU15 akan diadakan kerana setiap hari bilangan kes meningkat. 

Benarkah PRU15 dianjurkan selepas darurat tamat pada Ogos ini atau tahun hadapan kerana melihat situasi Covid-19 terkini.

Sungguhpun begitu, apa yang diperhatikan ahli-ahli politik terlalu ghairah menyusun atur strategik untuk tawan negara, sibuk cari 'partner' untuk tunjuk mereka kuat semasa PRU15, namun pada masa sama rakyat semakin susah setelah terkesan dengan pandemik Covid-19 yang mengugat ekonomi. Kesannya berpanjangan bukan sehari dua boleh pulih.

Sibuk berpolitik sana sini, kebajikan rakyat entah ke mana, adakah mereka ini tahu ada anak kecil tidak cukup makan, kanak-kanak terpaksa menjadi gelandangan selepas kematian ibu bapa kerana Covid-19.

Peniaga bazar Ramadan kerugian berpuluh ribu ringgit gara-gara bazar ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tauke kedai makan tidak lagi beroperasi sehingga akhirnya bungkus, syarikat bas pelancongan hilang punca pendapatan dan macam-macam lagi kisah pilu di sebalik krisis Covid-19 ini.

Apa yang boleh dikatakan kepada ahli politik, Bersatulah pemimpin demi rakyat... usah memikirkan tembolok sendiri, kerana pandemik Covid-19 semua orang susah.

Anwar IbrahimMuhyiddin YassinAhmad Zahid